Wednesday 28 September 2011

Cinta pada semua

"Abang, jom kita pok miaw tu..jom la..jom la.."
Anak buah bongsu saya berusia sekitar 2 tahun mengajak abangnya yang berusia 5 tahun.

Si abang kelihatan berfikir-fikir. Si adik sudah memegang sebatang penyapu.

Saya yang mendengar ajakan si adik tersentak..Aish adik ni, apalah salah kucing tu sampai nak dipukulnya, kata saya dalam hati.

"Adik, tak kesian ke kat miaw tu..? Sakit miaw kalau kena pok ngan adik.." Hujah saya, ingin menduga tahap kesungguhannya mengajak si abang memukul kucing.

"aaaa? ape?" si adik, selalu betul membuat muka blur kalau kita bercakap padanya. Si abang mula memberikan perhatian kepada saya.

"Nanti kat akhirat nanti, miaw bagitahu kat ALLAH, dulu adik ngan abang pukul miaw. Nanti ALLAH marah tau.." Saya cuba memberi sebab dan penjelasan, dan seterusnya menghubungkan segalanya dengan Yang Maha Pencipta.

"Sekarang adik ngan abang kena minta maaf dengan miaw tu..say sorry kat miaw.."

"Sorry miaw, sorry.." Kedua-dua adik dan abang sama-sama meminta maaf pada si kucing.

Lega si kucing, dapatlah ia berehat dengan aman.

Sebagai seorang dewasa, kadang kala kita leka dan terlupa untuk mendidik si kecil tentang kepentingan mengasihi makhluk-makhluk ALLAH yang lain. Disebabkan kita tak senang si kucing mengotorkan rumah, kita halau si kucing dengan penyapu dan batang kayu, hingga terlihat oleh si kecil. Akibat kerap melihat tindakan sebegini, si kecil belajar daripada tingkah laku kita bahawa kucing mesti dipukul dengan penyapu. Bahananya, si kucing menjadi mangsa.

Haiwan juga sebagai hidupan yang mempunyai keperluan untuk makan, minum dan tempat tinggal memerlukan perhatian kita sebagai manusia. Barangkali ALLAH menjadikan kita sebagai perantara daripada-Nya untuk memberikan rezeki kepada si kucing pada hari-hari tertentu. Mungkin kita kurang selesa untuk membela kucing sebagai haiwan peliharaan, tapi apalah salahnya kita memberikan sedikit makanan buat mengalas perut si kucing, moga dengannya dia akan bertasbih kepada ALLAH dan mendoakan kebaikan untuk kita.

Abang ipar saya malah meminta isterinya untuk menyediakan bekalan ikan kembong yang telah dibersihkan untuk diberikan kepada kucing-kucing yang singgah di rumahnya setiap hari. Bukankah ini sifat yang mulia; menyayangi hidupan lain semampu kita. Secara tidak langsung, beliau telah menanamkan dalam diri ahli keluarganya sifat rahmah kepada haiwan.

Sinergi kita dengan alam menyebabkan kita saling memerlukan dengan seluruh isi alam lainnya. Mungkin kita tidak dapat menafsir, mengapa ALLAH menjadikan kucing ke dunia ini. Tapi yakinlah bahawa setiap satunya pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Rasa cinta itu perlu ada dalam diri kita untuk setiap makhluk yang bernyawa.

No comments:

Post a Comment